Pages

السلام عليكم

Saturday, May 3, 2014

FITNAH MUNCUL DARI ARAH TIMUR (MASYRIQ)

FITNAH MUNCUL DARI ARAH TIMUR (MASYRIQ)

قال البخاري حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ ، حَدَّثَنَا لَيْثٌ ، عَنْ نَافِعٍ ، عَنِ ابْنِ عُمَر رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ " وَهُوَ مُسْتَقْبِلٌ الْمَشْرِقَ، يَقُولُ : أَلَا إِنَّ الْفِتْنَةَ هَا هُنَا مِنْ حَيْثُ يَطْلُعُ قَرْنُ الشَّيْطَانِ ".


Maksudnya:
Telah menceritakan kepada kami Qutaibah bin Said, telah menceritakan kepada kami al- Laith, daripada Nafi’, daripada Ibnu Umar ra, bahawasanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda sambil menghadap ke Timur (Masyriq) kemudian berkata: “Fitnah muncul dari arah ini, dari tempat keluarnya tanduk syaitan”.

(Sahih Bukhari, Kitab Fitan, Bab Fitnah Muncul dari Arah Timur (Masyriq), No. hadith: 6564)

KETERANGAN HADITH:

Hadith ini menjelaskan bahawa fitnah muncul dari arah timur, ini dapat dibuktikan dengan pendapat oleh al- Muhallab, beliau mengatakan bahawa: “Nabi Muhammad SAW tidak mendoakan untuk penduduk timur tujuannya adalah untuk melemahkan mereka daripada keburukan yang akan terjadi dari arah mereka ini disebabkan syaitan menguasainya dengan menyebarkan fitnah”.

Di samping itu, Ibnu Hajar rahimahullah berkata: “Pada saat itu penduduk timur (Masyriq) adalah orang- orang kafir maka disebabkan itu Nabi Muhammad SAW memberitahu bahawa fitnah muncul dari arah tersebut dan terjadi seperti yang Baginda SAW khabarkan. Fitnah pertama muncul dari arah timur yang menjadi sebab perpecahan antara kaum Muslimin. Tentu sahaja hal ini termasuk perkara yang disukai syaitan serta menggembirakannya. Begitu juga, bid’ah- bid’ah muncul dari arah tersebut”.

PENGAJARAN HADITH:

1. Munculnya kaum Tatar pada abad ke tujuh belas Hijriyyah dari arah timur. Dengan sebab tangan-tangan merekalah terjadi banyak penghancuran, pembunuhan sebagaimana yang telah dimuatkan dalam buku- buku sejarah.

2. Sehingga saat ini senantiasa timur menjadi sumber fitnah, bid’ah, khurafat, dan atheisme. Fahaman komunis yang tidak mengakui adanya tuhan berpusat di negara Rusia dan Cina, keduanya ada di arah timur, dan datangnya Dajjal serta Yakjuj dan Makjuj dari arah timur. Hanya kepada Allah kita memohon perlindungan dari segala fitnah yang nampak secara zahir dan tersembunyi.

3. Sebahagian fitnah merupakan tanda-tanda kiamat yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW seperti peristiwa Siffin dan juga munculnya kaum Khawarij.

(Ibnu Hajar al-Asqalani, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari. Penterjemah: Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta: Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 16. Halaman 149-157).


No comments: