Pages

السلام عليكم

Saturday, May 3, 2014

YA’JUJ DAN MA’JUJ

YA’JUJ DAN MA’JUJ

قَالَ البُخَارِي حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ، أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، ح وَحَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، حَدَّثَنِي أَخِي، عَنْ سُلَيْمَانَ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ أَبِي عَتِيقٍ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ، أَنَّ زَيْنَبَ ابْنَةَ أَبِي سَلَمَةَ، حَدَّثَتْهُ عَنْ أُمِّ حَبِيبَةَ بِنْتِ أَبِي سُفْيَانَ، عَنْ زَيْنَبَ ابْنَةِ جَحْشٍ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم دَخَلَ عَلَيْهَا يَوْمًا فَزِعًا يَقُولُ " لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدِ اقْتَرَبَ، فُتِحَ الْيَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مِثْلُ هَذِهِ ". وَحَلَّقَ بِإِصْبَعَيْهِ الإِبْهَامِ وَالَّتِي تَلِيهَا. قَالَتْ زَيْنَبُ ابْنَةُ جَحْشٍ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ قَالَ " نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الْخُبْثُ ".

Maksudnya:
Daripada Ummul Mu'minin , Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah SAW), beliau berkata, "(Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya'juj dan Ma'juj seperti ini", dan Baginda menemukan ujung jari dan ujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: "Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan dikalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?" Lalu Nabi SAW bersabda: "Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak". (Riwayat al-Bukhari)

(Kitab Fitan, Bab Ya’jud Dan Ma’jud, 7135, Shahih)

KETERANGAN HADITH:


Hadis di atas menerangkan bahawa apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasiqan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu. Tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi orang-orang yang soleh juga akan dibinasakan, walaupun masing-masing pada hari kiamat akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah dilakukan.

Sebagaimana Ibnu Al Arabi berkata, “Di dalamnya terdapat penjelasan bahawa orang yang baik akan binasa seiring dengan binasanya orang jahat jika orang yang baik itu tidak merubah kejahatan. Begitu pula orang yang baik telah berusaha merubahnya namun tidak memberi sebarang manfaat, mereka tetap dengan perbuatan buruknya. Kejahatan semakin merebak sehingga banyak berlaku kerosakkan. Maka saat itu akan dibinasakan kesemuanya sekali.

Oleh itu, segala macam kemungkaran dan kefasiqan hendaklah segera dibasmikan dan segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan, supaya tidak terjadi malapetaka yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, tetapi ianya menimpa semua penduduk yang berada di tempat itu.
Dalam hadis di atas, walaupun disebutkan secara khusus tentang bangsa Arab tetapi yang dimaksudkan adalah seluruh bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara khusus adalah kerana Nabi kita saw. sendiri adalah dari kalangan mereka, dan yang menerima Islam pada masa permulaan penyebarannya adalah kebanyakannya dari kalangan bangsa Arab dan sedikit sekali dari bangsa yang lain.

Begitu pula halnya dalam masalah yang berkaitan dengan maju-mundurnya. Umat Islam adalah banyak bergantung kepada maju-mundurnya bangsa Arab itu sendiri. Selain daripada itu, bahasa rasmi Islam adalah bahasa Arab.

Kemudian Ya'juj dan Ma'juj pula adalah dua bangsa (dari keturunan Nabi Adam as.) yang dahulunya banyak membuat kerosakan di permukaan bumi ini, lalu batas daerah dan kediaman mereka ditutup oleh Zul Qarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga, maka dengan itu mereka tidak dapat keluar, sehinggalah hampir tibanya hari kiamat. Maka pada masa itu dinding yang kuat tadi akan hancur dan keluarlah kedua-dua bangsa ini dari kediaman mereka lalu kembali membuat kerosakan dipermukaan bumi ini. Apabila ini telah terjadi, ia menandakan bahawa hari kiamat sudah dekat.

(Ibnu Hajar Al Asqalani. 2009. Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al Bukhari. Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab Al-Fitan. Bab 28. Halaman 363-379.)

PENGAJARAN HADITH:

Tembok Zulqarnain berkait rapat dengan asal-usul dan identiti bangsa Ya’juj wa Ma’juj . Dari Ibn Abbas r.a kepada Ibn Khaldun sehinggalah ulama mutakhir , mereka seolah sepakat tembok Zulqarnain terletak di pergunungan Caucasus. Apabila tiba ketentuan Allah s.w.t , sebagaimana yang Allah s.w.t janjikan , tembok itu akan hancur , maka Ya’juj wa Ma’juj akan muncul dan akan turun “dari seluruh tempat yang tinggi”.

Oleh itu, perkara-perkara berkaitan peristiwa akhir zaman ini wajib di imani oleh setiap muslim dan tidak boleh disanggah sama sekali tentang kebenarannya.Menjadi satu kepastian kaum Ya’juj wa Ma’juj akan muncul di akhir zaman sebelum terjadinya Hari Kiamat. Ia menjadi salah satu dari tanda-tanda besar berlakunya Kiamat. Di dalam hadis Rasulullah s.a.w ada menyebut, apabila Ya’juj wa Ma’juj muncul , mereka melalui Tasik Tabariah dan mereka meminum airnya sehingga kering.


Justeru, kita perlu beramal ibadah dengan sebenar-benarnya seperti yang disuruh Allah SWT melalui teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Hal ini kerana, ia adalah perkara asas dan umum yang mesti kita lakukan, agar iman menjadi mantap.

No comments: