Imam Nawawi dalam Az Azkar
pada bab Ikhlas dan Niat Baik Dalam Segala Amalan ada menyentuh tetang perkara
ini. Dihujung perbincangan beliau menambah :
“Zikir itu
sebaik-baiknya dengan hati, dan boleh juga dengan lisan. Tetapi yang lebih
utama ialah berzikir dengan hati dan lisan sekaligus. Kalau hendak memilih
salah satu di antara keduanya, maka berzikir dengan hati adalah lebih utama.”
Lalu tidak
wajar meninggalkan zikir dengan lisan yang disertai hati kerana khuatir
disangkakan adanya riya’, bahkan dibuatkan kedua-duanya sekaligus dan diniatkan
semua itu untuk mencari keredhaan Allah Ta’ala. Kata-kata AI-Fudhail
rahimahullah “bahwa meninggalkan amal kerana manusia adalah riya”. Memang
sebenamya jika manusia membuka pintu kebimbangan dari hal pemerhatian orang
terhadap amal kita, atau memelihara diri dari menarik sangkaan-sangkaan yang
batil nescaya akan tertutup kebanyakan pintu-pintu kebajikan.
Ketahuilah
keutamaan zikir bukan saja terbatas pada tasbih, tahlil, tahmid, takbir dan
sebagainya, bahkan semua amalan yang merupakan ketaatan kepada Allah dikira
juga sebagai berzikir kepadaNya sesuai sebagaimana yang dikatakan Said bin
Jubair r.a. dan selainnya daripada para ulama.
Meminjam kata-kata Syed Ahmad
Semait mengenai riya’ beliau berkata :
“Meskipun
kita disuruh beramal tanpa riya’ kepada manusia, namun ini bukan berarti kita
mesti meninggalkan beramal bila berhadapan dengan manusia, kerana perbuatan
meninggalkan amal kerana manusia itulah pokok riya’, yang betul hendaklah kita
terus beramal tidak mengira ada orang atau tidak ada, dan amalan kita itu kita
tujukan kepada Allah dengan setulus ikhlas.”