Sesuatu yang keluar dari hati akan sampai kepada hati pula.
Hati merupakan salah satu sendi dari sendi – sendi kekuatan dalam memerangi nafsu. Hati akan menjadi benteng yang kuat dalam memrangi nafsu sekiranya hati itu hidup, lembut, bersih, cekal dan selalu mengingati pesanan sayidina Ali r.a yang berbunyi;
“sesungguhnya Allah SWT mempunyai bejana di atas buminya iaitu hati-hati, maka hati yang paling disukai oleh Allah ialah hati yang bersih, lembut dan cekal. Kemudian sayidina Ali (mentafsirkan kalimah-kalimah tersebut dengan) katanya: cekal dalam pegangan agama, bersih di dalam keyakinan dan lembut terhadap saudara-saudara mukmin.”
Al-Quran memberi gambaran tentang hati-hati orang mukmin di dalam firman Allah SWT, yang bermaksud:
Orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila menyebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya menjadikan mereka bertambah iman mereka. (Surah al-Anfal: 2)
Mungkin tidakkah timbul tanda tanya kenapa dakwah dan didikan kita kurang berkesan?
Kenapa orang yang kita didik masih tidak berubah walaupun bermacam-macam cara dan bahan yang telah kita gunakan dan sampaikan kepadanya?
Di sinilah terletaknya satu perhentian bagi para Da'ie dan Murabbi. Kita tidak seharusnya terlalu sibuk dengan amal Islami hingga tidak ada masa yang diperuntukkan untuk bermuhasabah diri. Bahkan saya sering merasakan apabila kita tidak lagi duduk sebentar untuk bermuhasabah diri, maka hati kita sebenarnya sudah semakin jauh dan pinggirkan Allah SWT. Kita semakin terkeluar dari laluan kehidupan seorang hamba. Keegoan telah mula bertapak dihati kita. Keangkuhan menguasai tingkah laku kita. Semangat yang dimiliki lebih mendahului kefahaman yang kita ada. Di sinilah ketergelinciran bermula. Kita mula tersasar dari arah tujuan dan matlamat kita yang sebenarnya. Memang ketergelinciran itu bermula dengan darjah yang terlalu kecil yang mungkin tida kita sedari namun dari masa ke semasa ianya semakin membesar hingga terpesong jauh dari matlamat yang ingin dituju.
Mari kita semak diri kita dengan bertanyakan persoalan,
Adakah keegoan, keangkuhan, enggan bermuhasabah diri dan sebagainya ini merupakan perkara kecil bagi kita?
Saudara ku.... bukankah banyak ayat-ayat Allah yang menggambarkan dan memperkatakan bahawa mereka yang akan dihumban ke neraka Allah itu adalah terdiri dari orang-orang yang takbur/besar diri. Adakah kita mahu tergolong dalam golongan orang-orang seperti ini?
Tadabburlah ayat-ayat akhir surah Az-Zumara... tidakkah ianya menggerunkan dan menggetarkan hati kita…?? Sekiranya benar kita beriman kepadaNya.
Saya teringatkan satu hadith yang boleh kita temui di dalam syarah hadith pertama kitab hadith arbai'in oleh Imam Nawawi, bagaimana 3 golongan yang pertama yang akan ditanya di Akhirat nanti.
Golongan yang pertama ialah golongan yang mati syahid. Alangkah hebat seorang yang mati syahid jika dibandingkan dengan amal-amal kerdil yang kita lakukan. Syuhada ini dipanggil lalu dinyatakan segala nikmat Allah SWT kepadanya semasa tempoh hayatnya dan dia pun mengakui banyaknya nikmat Allah SWT kepadanya. Lalu ditanya oleh Allah, untuk apa dipergunakan semua itu? maka katanya, aku berjihad hingga aku syahid di jalanMu. Lalu dikatakan kepadanya "engkau berdusta! Engkau berjuang supaya dikatakan engkau pemberani, dan memang dikatakan orang begitu" Lalu diseret mukanya dan dihumban ke Neraka Allah SWT. Bergetar hati dan gerun rasanya membayangkan peristiwa ini. Apalah yang ada pada amalan kita andainya banyak yang dikerjakan tetapi ianya tidak dilakukan dengan ikhlas hanya keranaNya yang akhirnya menjadi bahan bakar neraka.
Apa lagi yang menghalang kita untuk berhenti seketika untuk muhasabah diri?
Adakah segala yang kita lakukan semuanya adalah kerana Allah SWT. Jika benar begitu kenapa kadang-kadang kita melakukan amal wajib dengan sambil lewa? Kenapa kita terlalu sibuk untuk bermunajat kepadanya, memohon perlindungan dari kemurkaan dan azabNya, tetapi kita tidak sempat meluangkan masa untuk membaca KalamNya.
Tiliklah diri kita terlebih dahulu dari kita menilik orang lain. Lihatlah kesalahan dan kelemahan diri kita melebihi dari kita melihat kesalahan dan kelemahan orang lain. Di sinilah kekuatan dalam amalan kita sebenarnya. Menyedari kelemahan diri menyebabkan kita sentiasa bergantung harap kepadaNya, kita sandarkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Selidikilah diri kita supaya kita tidak menjadi orang yang hanya pandai berkata-berkata tetapi tidak mengamalkannya, bercakap hanya dengan lisan tetapi tidak dengan hati. Kata-kata yang tidak memiliki ruh yang akan menyalurkan kekuatan kepada orang yang dididiknya untuk melakukan perubahan dan menuju kebenaran.
Saya tujukan semua ini khusus pada diri saya sendiri dengan harapan untuk dikongsi bersama mereka yang sedang berusaha mencari keredhaanNya.
Perjalanan kita masih jauh, halangannya terlalu banyak, simpang siurnya tidak menentu dan musuh-musuh sentiasa mengintai pergerakan kita... maka berbekallah kita dengan sebaik-baik bekalan dan berhentilah di hentian-hentian muhasabah supaya kita sentiasa dapat memulihkan dan mengecas tenaga dan meluruskan perjalanan kita hingga kita benar-benar sampai ke destinasinya.