Pages

السلام عليكم

Tuesday, March 24, 2009

TANDA-TANDA HATI YANG MATI

Di antara tanda-tanda hati yang mati, ialah tiada rasa sedih apabila telah kehilangan kesempatan untuk melakukan taat kepada Allah, tiada juga rasa menyesal atas perbuatan kelalaian yang telah dilakukannya.

Hati yang di dalamnya hidup keimanan akan merasa sedih apabila iman dan taat itu hilang daripadanya. Hati yang beriman itu sangat menyesal apabila ia melakukan dosa. Hati ini sangatlah senang apabila ia melaksanakan ketaatan.

Perbuatan manusia yang dikendalikan oleh hati yang beriman pasti selalu menjurus kepada ketaatan dan bergegas meninggalkan kemaksiatan, sehingga hatinya tidak gelisah oleh dosa, dan jiwanya tidak resah oleh maksiat. Kejahatan yang selalu mencari peluang merobek benteng hati insan, mampu menghancur-luluhkan benteng itu, apabila pertahanan Iman yang menjaga benteng hati itu lemah.

Sebaliknya, benteng hati itu akan kukuh kuat, walaupun dengan serbuan dan robekkan apa pun, apabila iman yang menjadi perisai di dalamnya kukuh kuat bagaikan batu karang di tengah samudera. Seorang hamba yang Mukmin akan senantiasa terus-menerus mencegah masuknya kemaksiatan dan kekotoran di dalam hatinya, membentenginya dengan amal ibadah. Dia harus merasa susah ketika dihinggapi dosa, dan gembira apabila melakukan kebaikan. Dalam sebuah Atsar; “Barang siapa merasa SENANG menjalankan kebaikan, dan merasa SEDIH menjalankan kejahatan, maka dia adalah orang yang beriman.”

Sebaliknya, hati yang suka dihinggapi kotoran kemaksiatan, tidak merasa sedih ketika menjalankan perbuatan maksiat (dosa) dan kotoran jiwa, maka itulah hati yang mati dan buta.

Tanda-tanda Allah Taala redha terhadap seorang hamba, maka hatinya akan terang benderang menerima kebajikan, dan mampu menghindari dosa.

Kearifan hati itu dapat dilihat dari perbuatan manusia dalam hidupnya. Hati yang hidup dan arif nampak pada wajah pemiliknya. Cahaya wajah dan perilaku seperti mimik pada raut wajah pemiliknya, hati yang jauh dari dosa dan bentuk maksiat, akan tampak dalam pembicaraannya. Ucapan seseorang terkias dengan jelas dalam setiap susunan kata-katanya. Hati yang terbuka oleh Iman akan menunjukkan bunyi pada kalimat yang diucapkan seseorang.

Halus, jujur, ikhlas. Sebaliknya, hati yang hitam tertutup oleh noda akan terbias dan semua kalimat yang diucapkan tidak mampu ditutup-tutup. Itu semua adalah gambaran tentang hati orang beriman. Hati yang beriman adalah hati yang hidup, sedangkan hati yang jauh dari keimanan adalah hati yang mati. Hati yang hidup oleh keimanan akan menumbuhkan kebaikan dan ketaatan, hati yang tertutup dari keimanan akan menumbuhkan kejelekan dan kemaksiatan.

Sahabat Ibnu Mas’ud mengatakan; “Orang yang benar-benar beriman, ketika melihat dosa-dosanya, seperti dia sedang duduk di bawah gunung. Dia khuatir kalau-kalau puncak gunung itu jatuh menimpanya. Adapun orang yang munafik, dia memandang dosa-dosanya seperti menghalau lalat di hujung hidungnya.”

Orang beriman selalu memandang dosa dan kesalahan yang pernah dia perbuat, seperti beban yang sangat berat rasanya, dia khuatir dosa dan kesalahannya akan membawa akibat yang sangat jelek, serta menyeksa di hari akhirat. Dia sangat berhati-hati. Sifat berhati-hati seperti ini adalah Cahaya Iman yang masih bertahta dalam hatinya. Adapun orang munafik, menganggap dosa dan kesalahan yang pernah diperbuatnya dengan anggapan bahawa dosa-dosa dan kesalahan tidak mampu meruntuhkan kedudukannya atau merosak dan menganiayanya, oleh kerana dia menganggap dosa adalah sangat enteng baginya, dan tidak bererti apa-apa. Seperti mengusir lalat dari hujung hidungnya saja.

Perasaan seperti itu adalah perasaan orang-orang munafik yang tidak memperdulikan kadar Iman dan Islam dalam membentuk pribadi manusia.

(Dari Al-Hikam 36)

Monday, March 16, 2009

19 Hadis Nabi mengenai WANITA


1.
Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah akan hal tersebut, jawab baginda, "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.".
2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.
3. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalanAllah.
4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.
5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itusetiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.
6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah.
7. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah dan orang yang takutkan Allah, akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.
8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar kerumah lalu diberikan kepada keluarganya) maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.
9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama,maka Allah memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).
10. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.
11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.
12. Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?" Jawab rasulullah, "Suaminya." "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah, "Ibunya."
13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.
14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.
15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.
16. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.
17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggalbersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.
18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan laludia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik merekadengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.
19. Daripada Aisyah r.a. Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka,maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka