Pages

السلام عليكم

Wednesday, August 8, 2012

TARBIYAH RAMADHAN

KITA AMAT MEMERLUKAN TARBIYAH RAMADHAN

Secara jujur kita mengaku bahawa majoriti kita memiliki hati yang sudah 'sakit' dan semakin kehilangan fungsinya. Kita melalui hidup kita seharian tanpa hati. Jika adapun hati kita kering, keras dan kesat. Perasaan-perasaan 'besar' yang Allah SWT sediakan dalam hati kita untuk diutuskan agar dapat membawa kita untuk menikmati kebahagiaan telah di'rampas'
 dan dibawa untuk menikmati tuntutan syahwah dan menikmati dunia. Perasaan seperti cinta yang dikurniakan sebagai jalan meraih kebahagiaan telah banyak membawa kita kepada penderitaan.

Bagi kita yang masih melakukan aktiviti-aktiviti ubudiyyah, kita sujud tanpa kusyu'. Kita bertasbih tapi kita tidak merasai sedang berdepan dengan Allah. Kita memuji Allah dengan tasbih, tahmid tetapi rasa kagum dan hina di depan Allah tidak ada lagi kalaupun perasaan ini mungkin pernah wujud. Bila mana kita membaca Al-Qur'an hati kita langsung tidak tersentuh kerana kita membacanya tanpa hati. Hanya lidah bergerak-gerak dan suara kita yang dapat kita dengari, tetapi fikiran dan perasaan kita tidak hadir bersama.

Hati kita lumpuh tanpa rasa akibat dosa yang bertompok-tompok setiap hari. Taubat yang kita lakukan juga hanya dengan kata-kata tanpa dimulai dengan penyesalan yang mendalam dan kebencian kepada maksiat yang telah kita lakukan.

Allah SWT Yang Maha Mengetahui dan Maha Penyayang amat mengetahui keadaan hamba-hamba-Nya yang sedang menderita kehilangan fungsi hati dan iman yang semakin melemah. Tiba-tiba bantuan Allah SWT kelihatan sudah dekat. Hati yang kering kontang, gersang kerana terlalu kurang disirami dengan air iman sudah mula merasai tanda-tanda bantuan pemulihan dan penyegaran. Hati yang sangat memerlukan nutrisi iman sudah dapat mengesani 'hidangan' yang akan membawa hati menuju kesihatan.

Ya Allah, hati-hati kami memerlukan tazkiyah yang intensif untuk memulihkannya dan memberikan kehidupan yang sebenar kepada hati-hati kami. Tidak ada yang lebih baik dari proses tazkiyah yang disediakan oleh-Mu di sepanjang Ramadhan. Kami telah diajari bahawa proses tazkiyah, sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah, adalah berpusat kepada shalat yang intensif, puasa di hari yang terik, sajian ayat-ayat Al-Qur'an untuk mengetuk-ngetuk hati dan infaq yang meringankan hati dari kuat terpaut kepada harta.

Dalam Ramadhanlah semua ini Engkau bekalkan dan Engkau berjanji akan mengganjari sesiapa yang bersungguh-sungguh dan ikhlas melalui proses ini dengan ganjaran berlipat ganda. Engkau janjikan pelbagai kebaikan dan kenikmatan. Ya Allah, tidak ada yang lebih baik kurniakan selain dari hidup semula hati-hati kami, meningkatnya iman kami dan semakin eratkan hati kami berpaut kepada-Mu.

Ya Allah, kami sangat-sangat berhajat kepada Ramadhan kerana segala keberkatannya dan proses tarbiyah dan tazkiyah yang Engkau sediakan dalam Ramadhan ini.

Ya Allah, bekalkanlah kami dengan kekuatan untuk terus melalui proses ini setelah berlalunya Ramadhan kerana kami tidak ingin menjadi insan Ramadhani tetapi kami sangat berhajat untuk menjadi insan Rabbani.

Ya Allah ampunilah dosa-dosa kami dan sucikanlah hati-hati kami.

*dipetik drp KAJIAN TARBAWI 19072012 oleh Pc Rosdi Baharom

1 comment:

Nursha said...

nice entry sis ^___^
keep on writing

from ::Arkitek Hati::